interlaken-3

Impian Ingin Membeli SWATCH di Switzerland Tercapai di Geneva.

“What you seek is seeking you.”
― Rumi

Selepas berada dua hari di Lugano, kami berpindah ke hotel kedua kami di Interlaken. Interlaken terkenal dengan tempat tarikan pelancongan nya yang dikelilingi dengan sungai, tasik juga gunung-ganang. Interlaken mempunyai dua stesen kereta api iaitu Interlaken Ost dan Interlaken West. Jadi kalau anda ingin ke Interlaken, pastikan sama ada ia OST atau West. Kerana penduduk tempatan tidak dapat membantu anda jika anda sendiri tidak pasti. Hotel kami menginap berada di Interlaken West.

Perkhidmatan kereta api di Swiss sangat menepati masa. Mereka tidak akan menunggu sesaat pun untuk kita, apabila sampai waktunya pintu-pintu kereta api akan tertutup rapat. Rakyat mereka sangat berdisiplin dalam menepati masa. Sejak berada di Interlaken, kami mula belajar tentang waktu ketibaan kereta api untuk merancang setiap perjalanan akan datang. Oleh kerana kereta api ke Interlaken terbahagi kepada dua stesen, membuatkan kami mengalami kesukaran untuk memahaminya.

Hari pertama kami sampai di stesen kereta api Interlaken West, semasa saya dan Hafiz sedang bersungguh-sungguh meneliti jadual ketibaan kereta api kami telah disapa oleh suara seorang wanita di belakang saya, “Excuse me, do you speak English?.” Wanita berambut panjang dan berwarna perang berumur lingkungan 25 tahun. Saya menjawab ya. Pada mula nya saya menyangkakan dia mahu bertanyakan sesuatu daripada saya dan saya menjangkakan dia juga seorang pelancong. Wanita tersebut sambung, “Great! I can guide you how to understand the timetable.” One more good attitude to adapt. Balik Malaysia nanti nekad saya akan membantu sesiapa yang kelihatan terpinga-pinga ketika mahu menaiki kenderaan awam (Pelajaran keempat). Selepas mengucapkan terima kasih kepada wanita tadi, kami sekeluarga secara tidak langsung telah pun ‘menjadi’ warga negara Switzerland. Sudah faham meneliti jadual kereta api untuk 14 hari akan datang di Swiss! Tour like a boss!

Hotel kami menginap di Interlaken terletak di antara deretan kedai-kedai cenderahati. Ia merupakan satu pekan kecil tetapi meriah dengan aktiviti-aktiviti manusia. Naik ke atas selepas daftar masuk seperti biasa tidak sabar untuk melihat bilik. Dengan perasaan yang penuh keterujaan, kami masuk ke bilik dan gembira melihat bilik yang luas dengan balkoni menghadap gunung dan kedai-kedai. Ada ketika nya kami berpeluang melihat sekumpulan pelancong yang sedang ‘paragliding’ turun dari gunung berhampiran. Kembali kepada cerita bilik, cuma satu masalah, bilik tiada tandas! Mana pintu tandas? Eh, takkan lah nak mandi atau buang air kena keluar dari bilik, fikir saya. “Mak, bilik kita takde tandas!.” “Mak tempah hari tu orang hotel cakap memang ada tandas. Takkan la takde tandas?”. Dah la masuk bilik dengan perasaan yang sangat teruja, sampai pintu bilik tak ditutup. Saya pun kembali ke hadapan untuk menutup pintu, rupa-rupanya pintu tandas di sebalik pintu hadapan! Ada tandas rupanya. Boleh pula ‘tersorok’ di belakang pintu lain. Lega semula.

Hari pertama di Interlaken kami hanya berjalan-jalan di sekeliling hotel sahaja. Saya masuk hampir setiap kedai cenderahati, hanya membeli untuk diri sendiri dan teman-teman rapat sahaja kerana terlalu mahal. Saya akan membeli banyak cenderahati di Paris nanti kerana di sana agak murah dan boleh dibeli secara banyak. Mujur saya sudah membuat sedikit rujukan tentang ini daripada kawan di Paris sebelum saya ke sini. Bagi Hafiz Interlaken adalah ‘Bandar mati bila malam.” Kedai tutup seawal jam 5 petang. Malam tiada apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Penduduk tempatan tidak bersosial di luar selepas habis waktu kerja, mereka hanya menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. They are family type of people. Saya dan Hafiz sangat adventurous. Setiap malam kami berdua akan turun ke bawah hanya dengan pijama, sweater dan berselipar berjalan jauh dari hotel tanpa arah untuk melihat kawasan sekeliling. ‘Orang Kuala Lumpur’, dah biasa tidur lewat malam apabila di bandar sepi memang mati akal.

Esok nya kami ke Geneva. Geneva adalah sebuah bandar raya global, pusat kewangan, dan pusat di seluruh dunia untuk diplomasi kerana adanya pelbagai organisasi antarabangsa, termasuk ibu pejabat banyak agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Palang Merah. Geneva adalah bandar yang menjadi tuan rumah yang paling banyak organisasi antarabangsa di dunia. Ia juga merupakan tempat di mana Konvensyen Geneva telah ditandatangani.

Pada mulanya kami merancang untuk makan tengahari bersama kawan ayah yang bertugas di Geneva, tetapi terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana beliau ada hal kerja yang tak dapat dielakkan dan berjanji akan bertemu kami kemudian. Aktiviti yang kami lakukan di Geneva ialah membeli belah. Di sini lah saya mula tahu tentang H&M, terlalu banyak H&M di sana. Sebelum ke Switzerland, saya sudah memasang cita-cita jika berpeluang ke sana saya akan membeli jam tangan SWATCH. Ketika itu saya hanya berusia 15 tahun. Segalanya bermula ketika ayah membelikan saya seutas jam SWATCH yang pertama kerana saya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan. Pada jam SWATCH tersebut tertera perkataan ‘MADE IN SWISS’. Terus memasang impian, ‘Kalau dapat ke Swiss memang nak beli SWATCH kat sana!’. Impian saya tercapai selepas 12 tahun kemudian yang pada ketika itu saya sendiri tidak tahu realistik kah impian saya itu, ‘Bila pula aku nak ke Switzerland? Macam mana nak ke sana?.’

So, be careful what you wish for! Kan dah tercapai! Nasib baik doa yang baik-baik. Jangan cepat putus asa, tanamkan impian walaupun anda rasa mustahil untuk dicapai, yakinkan dalam hati anda. Impian yang dipasang dengan kuat selalunya akan membawa anda untuk mencapainya.

Hujan turun dengan lebat beberapa jam kemudian. Saya dan Hafiz terpisah dengan mak, ayah dan Fiza. Saya dan Hafiz masuk ke dalam kedai untuk berlindung seketika. Ketika itu saya disapa oleh seorang lelaki, “Kamu dari Indonesia?” Tanya nya dalam loghat Indonesia yang pekat. Mungkin dia melihat saya orang Asia dan memakai tudung fikirnya saya dari Indonesia. Saya boleh bercakap dalam bahasa Indonesia dengan agak fasih kerana saya ada kawan rapat di Bandung. Saya juga sudah biasa menjadi pemandu pelancong kepada kawan-kawan yang datang dari sana semasa mereka bercuti ke Malaysia. Memandang ke muka lelaki tersebut, “Ga. Saya dari Malaysia. Datang main ke mari sama keluarga.” Lelaki itu sambung, “Oh, maaf. Saya fikir kamu dari negara saya. Kamu bisa berbahasa Indonesia?” Kami berbual hanya sebentar sebelum dia meminta izin untuk beredar. Saya pula menghubungi ayah bertanyakan di mana mereka bertiga berada. Apabila hujan berhenti, kami mencari makan di restoran milik seorang Pakistan. Kebab menjadi makanan kami pada hari itu. Kebab yang pertama di Eropah.

Post akan datang: Perjalanan ke Grindelweld dan Terbeli Air Ganja di ‘Vending Machine’.

Published by

Hasz Hassan

Seorang yang sukakan cabaran. Tetapi apabila cabaran datang, pening kepala. Selalu ingin jadi lain daripada yang lain. Seorang yang menghargai seni. Berpeluang melancong ke beberapa negara di Eropah, Thailand, Singapura dan Indonesia. Hidup berprinsipkan 'kalau tidak cuba tidak tahu apa akan berlaku' yang dahulunya tidak terfikir akan mempunyai syarikat sendiri kini telah mempunyai 'design house' yang telah beroperasi selama tiga tahun. Dengan rendah diri, semoga kisah-kisah yang dikongsikan dapat memberi inspirasi kepada yang membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *