Di hadapan stesen keretapi Milan, Itali.

Milan dan Tandas Peliknya.

Selesai bersarapan di hotel di bandar Lugano, kami mengambil keputusan untuk melihat “sekeliling” hotel sebelum menaiki kereta api ke Milan. Lugano bersempadan dengan Milan, Itali dan disebabkan itu kami mengambil keputusan untuk bermalam di Lugano.

Kenapa saya katakan “sekeliling” hotel dengan inverted comma? Ini kerana pada mulanya kami fikir Lugano adalah padang jarak padang tekukur. Pada hari terakhir sebelum kami check-out barulah ‘discover’ ia adalah kawasan yang ‘happening’. (Link cerita penuh post sebelum ini).

in-the-glass-box

Ini ialah saya sedang duduk menunggu ketibaan kereta api. Kotak kaca ini bukanlah ‘bilik untuk merokok’ seperti yang ada di beberapa pusat membeli belah di Malaysia. Sepanjang saya berada di Swiss saya tidak nampak penduduk mereka merokok di tempat-tempat awam. Kotak kaca ini adalah ‘bilik’ untuk kita mengelakkan diri daripada kesejukan di luar. Ya, sangat awesome bukan? Pada mulanya saya juga menyangkakan ia bilik untuk merokok. Tetapi apabila kebanyakan mereka masuk hanya untuk membaca suratkhabar dan ada yang duduk sahaja, saya cuba masuk ke dalamnya. Dalam bilik terasa suam dan setelah beberapa saat berada dalam bilik tersebut dapat mengembalikan semula rasa selesa terutama kepada mereka yang tidak sukakan kesejukan seperti saya.

on-the-train-to-milan

Perjalanan ke Milan melalui kawasan Lugano memperlihatkan tasik besar yang sangat indah. Di atas kereta api kami hanya melayani pemandangan yang menghijau di kiri kanan. Ada surat khabar yang diberikan secara percuma tetapi dalam bahasa Itali. Tergeliat lidah cuba membaca. Hanya setakat melihat gambar-gambar dan iklan. Konsep dan idea iklan yang menarik saya akan simpan untuk dibawa pulang begitu juga dengan risalah-risalah ‘packaging’ gula dan teh, resit-resit dan tisu! (minta maaf awal-awal kepada yang bakal melancong dengan saya nanti sebab ada perangai ‘pelik’ ini).

Tiba di sempadan Itali, pegawai-pegawai Imigresen akan naik ke atas kereta api untuk memeriksa passport dan ‘chop’ passport kami. Situasi seperti inilah yang kami agak sukar berhadapan kerana kami perlu memberikan penjelasan kepada pegawai-pegawai Imigresen sejak mula tiba di Lapangan Terbang Frankfurt. Pada tahun 2008, passport Antarabangsa Malaysia adalah antara passport terawal di dunia yang menggunakan teknologi cip. Oleh sebab penggunaannya masih terlalu baru, maka kami terpaksa menjawab soalan seperti “Why your passport don’t have any stamps from your country?,” (seolah-olah kami pendatang haram pula). Ini kerana dari KLIA sebenarnya passport kami sudah disemak menggunakan sistem teknologi komputer. Jadi setiap kali diajukan soalan begini, kami terpaksa tunjukkan bahagian belakang dalam passport yang terdapat cip di situ. Meminta mereka untuk meletakkan jari di bahagian tersebut untuk merasainya. Selalunya mereka akan berpuas hati dan faham dengan penjelasan kami. Cumanya, setiap kali ditanya begitulah dialog sama yang kami hafal.

at-milan-station

Di Milan, kami tidak berjalan jauh dari stesen kereta api tersebut, kerana sebelum ke sini emak sudah membuat sedikit rujukan melalui beberapa artikel di mana sistem bas di sini tidak menepati masa. Ada yang terkandas selama tiga jam di bandar. Jadi kami berkeputusan untuk berjalan di kawasan berhampiran sahaja.

Letih berjalan, singgah minum di McDonald. Cantik hiasan dalaman McDonald, seperti berada di dalam restoran mewah. Saya hanya memesan kopi kerana saya kesejukan. Semasa kami sedang duduk menikmati minuman, kelihatan sesiapa yang bangun hendak meninggalkan meja masing-masing kesemua mereka akan meletakkan kotak makanan dan bekas minuman ke atas dulang dan membuang sendiri sampah ke dalam tong yang disediakan. Kemudian dulang akan diletakkan di atas tempat yang disediakan. (Pelajaran ketiga) Pada tahun 2008, amalan seperti ini masih belum dipraktikkan di Malaysia. Masih lagi tinggalkan sampah di atas meja dan membiarkan pekerja-pekerja yang membersihkannya. Melihatkan perkara yang baru berlaku di depan mata saya, membuatkan saya berasa kagum! You can do it yourself, walaupun ada pekerja yang boleh buat kerja itu. But this is a good attitude to adapt, you will learn to respect other people. Apa salahnya meringankan kerja orang? Orang kita kebanyakan susah untuk merendahkan diri untuk berbuat demikian. Saya akui saya juga pernah begitu. “Buat apa nak tolong kemas, kan ada pekerja. Habis tu buat apa dia orang dibayar gaji?”. I was like that too. And I can see how I don’t respect humans.

Selingan sedikit, apabila saya pulang ke Malaysia saya nekad untuk membuang sendiri bekas makanan saya. Kawan hampir menghalang, “Kenapa nak buat macam ni, biarlah pekerja yang buat.” Saya pun kongsikan pengalaman yang saya dapat semasa melancong. Baru kawan saya faham dan di antara ramai yang makan di situ, hanya kami berdua yang mengemas meja sendiri. Nampak pelik, tetapi di situlah boleh mendatangkan inspirasi kepada mereka yang melihat. Seperti yang saya dapat semasa di McDonald di Milan.

Berbalik kepada cerita di McDonald, selepas menghabiskan minuman dan mengikut langkah yang lain-lain mengemas meja sendiri saya pun ke tandas untuk mencuci tangan. Tandas cantik dan bersih seperti tandas di hotel mewah. Di tempat membasuh tangan, saya terpinga-pinga sendirian. ‘Macam mana nak basuh tangan, ada paip yang unik tetapi tiada air’. Saya tak jumpa bagaimana cara untuk mengeluarkan air daripada paip tersebut. Cuba letak tapak tangan di bawah paip, tiada air keluar. Tertunduk-tunduk saya mencari kepala paip di bawah hand basin. Kot-kot dia orang tutup air. Tak ada kepala paip. Jenuh memikir takkan ini smart pipe? Saya pun cuba tepuk tangan, kalau smart pipe mungkin air akan keluar setelah ditepuk. Masa itu tak ada orang dalam tandas, jadi saya tiada rujukan untuk dirujuk. Bab-bab teknikal ini saya memang agak lembab tetapi bab-bab buat perkara pelik serahkan kepada saya. Masih tidak ada air yang keluar tetapi ada sesuatu ‘benda’ di bawah hand basin tersebut di mana saya tak pasti apakah tujuan benda itu terletak di sana. Saya keluar dari tandas dan pergi semula ke meja. Adik lelaki ada di situ, “Apis, tadi kau cuci tangan tak kat tandas?.” “Haah cuci.” Saya tanya,” Apasal toilet aku takde air ye?”. Dia gelak, “Bawah hand basin tu kau nampak tak macam ada benda bulat? Kau tekan benda tu dengan kaki, macam kau pam air la, nanti air keluar bila kau pam dengan kaki.” Biar betul ??? Adik aku ni lagi teruk fikiran peliknya.

Dalam adik-beradik kami, saya sering ‘dibuli’ dengan kuiz-kuiz dan perkara teknikal. Saya tak suka perkara yang membabitkan ujian IQ. Saya akan ‘dibuli’ dengan diberi jawapan ‘palsu’ dan kemudian mereka akan membiarkan saya mempercayainya bulat-bulat. Bila saya dah percaya, dia orang akan bantai gelak.

Kali ini, Hafiz kelihatan serius. Saya pergi semula ke tandas dan buat seperti yang Hafiz terangkan. Tadaaa… Air keluar! Setiap kali tekan pam dengan kaki, air akan keluar. Saya pun berfikir sendiri, konsep ini mesti untuk menjimatkan air. Mungkin sebelum ini ada yang lalai membiarkan paip air terbuka. Ataupun ini adalah konsep era Renaissance? Ataupun ini merupakan salah satu galakkan untuk orang Itali bersenam kaki? Tetapi saya rasa jawapan pertama saya itu mungkin lebih tepat.

Keluar dari McDonald, kami sambung berjalan di kawasan sekitar tersebut. Melihat seni bina bangunan-bangunan dan membeli belah sedikit. Pulang ke Lugano selepas tiga jam kemudian.

around-milan

Post akan datang: Impian membeli jam SWATCH di Swiss tercapai di Geneva.

Published by

Hasz Hassan

Seorang yang sukakan cabaran. Tetapi apabila cabaran datang, pening kepala. Selalu ingin jadi lain daripada yang lain. Seorang yang menghargai seni. Berpeluang melancong ke beberapa negara di Eropah, Thailand, Singapura dan Indonesia. Hidup berprinsipkan 'kalau tidak cuba tidak tahu apa akan berlaku' yang dahulunya tidak terfikir akan mempunyai syarikat sendiri kini telah mempunyai 'design house' yang telah beroperasi selama tiga tahun. Dengan rendah diri, semoga kisah-kisah yang dikongsikan dapat memberi inspirasi kepada yang membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *