lugano-banner

Lugano dan Cabaran Mencari Makanan Halal.

Sampai sudah kami di stesen keretapi Zurich, Switzerland. Zurich merupakan bandar terbesar di Swiss. Terletak di utara Swiss, Zurich merupakan hab pengangkutan keretapi dan jalanraya. Kebanyakan rakyat Swiss bukanlah dari Swiss tetapi mereka berhijrah dari German dan Itali. Mereka juga bukan sombong, tetapi mereka tidak pandai berbahasa Inggeris terutamanya golongan veteran. Jadi sebolehnya mereka akan elak daripada bercakap dengan orang asing. Pada mulanya juga saya menganggap mereka sombong. Jangan suka mengadili orang dengan mudah (Pelajaran kedua). Matawang yang digunakan ialah Swiss Franc. Saya membawa Swiss Franc dan Euro kerana Euro saya akan gunakan semasa di Milan juga di Paris.

Ambil masa juga masa nak membeli Euro Pass kerana petugas memerlukan banyak butiran tentang kami. Kelaparan. Cuaca sejuk memang akan buat saya jadi rakus dengan makanan. Kami memang sudah bersedia dari KL dengan membawa ‘bekalan’ makanan. Daripada siri rangkaian Brahim’s, Maggie, sardin … to name a few. Tetapi bekalan makanan tersebut hanyalah untuk satu minggu, jadi kami terpaksa juga nanti mencari makanan tempatan yang halal, sekurang-kurangnya kebab. Kami memang tidak bercadang untuk memasak kerana kami akan tinggal di hotel, bukannya apartment.

Menaiki keretapi ke Lugano dari Zurich mengambil masa enam jam. Kami memilih untuk tinggal di Lugano sebagai destinasi pertama kerana rancangan seterusnya iaitu pagi esok kami akan ke Milan, Itali. Milan hanya bersempadan dengan Lugano. Pemandangan yang cantik dan mengasyikkan memang mengujakan kami semua pada hari itu. Itulah kali pertama saya melihat gunung-ganang yang diliputi salji di atas puncaknya. Tak sengaja terkeluar dari mulut saya, “Inilah gunung yang selalu kakak nampak dalam movie! Sekarang boleh tengok depan mata! Eh eh! Nampak macam gula halus yang ditaburkan atas biskut!”. Sah kelaparan.

snow-mountains
Gambar yang diambil di atas keretapi yang sedang bergerak.

Oleh kerana hampir seharian perjalanan kami dari touch down di Frankfurt seterusnya ke Basel dan kemudian Zurich, masing-masing hanya melayan kecantikkan gunung saya pula memilih untuk tidur. Enam jam perjalanan, ibarat waktu tidur kita yang sempurna. Dengan harapan saya akan berasa segar semula apabila sampai ke destinasi yang dituju nanti. Siang pula panjang. Kena belajar menyesuaikan diri untuk tiga minggu akan datang.

Sampai di stesen keretapi Lugano jam 7 petang tetapi keadaannya seperti jam 4 petang. Macam mana nak tidur malam nanti. Pukul berapa agaknya betul-betul gelap. Check-in hotel pertama di Swiss. Kepenatan. Kami masuk ke bilik masing-masing, semak jadual solat. Waktu Maghrib ialah jam 9 malam, waktu Isyak jam 12 tengah malam. Subuh jam 3 pagi, Zohor 4 petang manakala Asar jam 7 malam. Kalau di Malaysia Maghrib jam 9 malam, seronok layan Doraemon atau Shin Chan pada setiap hari Sabtu selepas mengaji (kami ada kelas mengaji di rumah pada setiap hari Sabtu selama 2 jam, habis je cepat-cepat naik atas buka TV) dan dapat tengok semua siri drama di TV3 setiap hari (tak minat pun layan drama tapi kalau masa panjang terlayan juga). Tetapi yang ‘mencabarnya’ nak tunggu solat Isyak jam 12 tengah malam, bangun Subuh dah sama macam bangun nak solat sunat Tahajjud! Kami melakukan solak jamak, jadi selepas solat semua tertidur kepenatan. Yang daripada tadi semua kelaparan, tak ingat apa dah! Kami semua kepenatan sampaikan tak makan! Sedar-sedar dah jam 7 pagi, solat Subuh pun terlepas. Rasa bersalah menyelubungi diri. Hari ini mesti lebih baik dari semalam, nekad saya.

Beautiful view from my bed.
Beautiful view from my bed.

Part paling saya suka, makan! Kami turun untuk bersarapan di restoran hotel. Emak pesan makan selain daripada daging. Jenguk di meja buffet, ada roti, jem, mentega, buah dan telur rebus. OK, jadilah daripada tak ada langsung. Hari kedua di perantauan tak terasa rindu lagi dengan nasi lemak. Apa yang ada pagi itu sudah memadai sangat, yang penting buat saya ialah ada kopi, then everything will turn be a great day!

breakfast-lugano

Selesai makan, kami mengambil peluang untuk melihat apa yang ada di sekeliling hotel. Lugano terletak di selatan Switzerland, sempadan Itali. Lugano adalah tempat tarikan pengunjung kerana di sini telah melahirkan ramai selebriti, penghibur dan juga atlit-atlit yang berjaya yang digelar “Monte Carlo of Switzerland”. Lugano juga adalah kawasan yang ramai orang kaya tempatan datang berkunjung untuk membeli belah. Sini banyak kedai-kedai jenama yang ternama. Setelah berada dua hari di sini iaitu hari terakhir sebelum kami berpindah ke hotel seterusnya barulah kami ‘discover’ ada banyak kedai-kedai terutama di belakang hotel kami menginap! Rugi tak ‘explore’ awal-awal, siap ingatkan ini kawasan padang jarak padang terkukur! Belakang hotel rupanya syurga beli belah!

Switzerland adalah antara tempat yang paling bersih di dunia, udara sangat segar dan penduduknya boleh saya katakan bertamadun. Tiada masalah jenayah, sampah pun susah nak nampak di atas jalanraya. Peti ‘display’ barangan tidak langsung dibawa masuk ke kedai apabila kedai tutup. Semuanya berada di luar. Kalau di Malaysia, barangkali peti tersebut dipecahkan ataupun paling kreatif peti tersebut akan dibawa lari. Kedai mereka sangat bersih, lihat gambar cokelat di atas, cokleat-cokelat yang diletakkan begitu sahaja tanpa bertutup. Tiada lipas atau cicak yang akan datang curi-curi makan!

Post akan datang: Milan dan Tandas Uniknya.

Published by

Hasz Hassan

Seorang yang sukakan cabaran. Tetapi apabila cabaran datang, pening kepala. Selalu ingin jadi lain daripada yang lain. Seorang yang menghargai seni. Berpeluang melancong ke beberapa negara di Eropah, Thailand, Singapura dan Indonesia. Hidup berprinsipkan 'kalau tidak cuba tidak tahu apa akan berlaku' yang dahulunya tidak terfikir akan mempunyai syarikat sendiri kini telah mempunyai 'design house' yang telah beroperasi selama tiga tahun. Dengan rendah diri, semoga kisah-kisah yang dikongsikan dapat memberi inspirasi kepada yang membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *